Melaka Bangunkan Sektor Perlancongan Dikagumi

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam (kanan) dibawa bersiar-siar sekitar Bandar Hilir dengan menaiki beca dari Dataran Sungai Melaka. Foto: Shaharim Oleh Mohamad Bakri Darus

MELAKA, 22 Jun (Bernama) — Kalau dahulu ia hanyalah sebatang sungai yang tercemar dengan sisa kumbahan dan sampah, namun kini sungai Melaka menjadi destinasi popular yang mesti dilawati apabila berkunjung ke negeri ini.

Keindahan dan kebersihan serta suasana damai dengan lanskap dan laluan siar kaki di sungai yang mengalir di tengah-tengah kawasan bangunan warisan dan moden, membuatkan ramai yang terpegun dan teruja dengan kegigihan kerajaan negeri Melaka mengubah imej sungai ini.

Potensi sungai Melaka sebagai aset pelancongan terserlah di sepanjang 4.5 kilometer dari Jambatan Hang Jebat di Taman Rempah hingga ke muaranya di Bandar Hilir, semuanya menjadi kenyataan di bawah projek pengindahan Sungai Melaka yang melibatkan kos lebih RM300 juta, termasuk pembinaan loji rawatan air dan baraj untuk menjernihkan air dan mengawal paras air sungai itu.

Pembangunan di kedua-dua tebing sungai itu rancak dijalankan termasuk pembinaan hotel, restoran dan kedai cenderahati, dengan satu impian menjadikan sungai Melaka seperti Sungai San Antonio di Amerika Syarikat yang terkenal dengan keindahan dan kebersihannya.

MENYUSURI SUNGAI MELAKA

Adalah tidak lengkap berkunjung ke Melaka sekiranya tidak singgah ke sungai Melaka terutamanya untuk menyusuri sungai itu dengan menaiki bot Melaka River Cruise.

Dalam tempoh 45 minit perjalanan pergi-balik, mereka yang menaiki bot Melaka River Cruise akan diberi penerangan mengenai produk pelancongan yang terdapat di sepanjang laluan termasuk kampung Morten, sebuah perkampungan Melayu yang masih mengekalkan rumah tradisional Melaka di tengah-tengah Bandaraya Warisan Dunia.

“Saya amat kagum dengan keindahan sungai Melaka sekarang kerana dulu saya pernah datang, di muara ini banyak bot nelayan, pokok api-api dan kiambang, sampah sarap pun banyak, biawak pun ada besar-besar…tetapi kini sudah jauh berubah,” kata seorang pengunjung dari Kedah, Azhar Othman, 50 tahun.

Beliau bersama isteri dan lima anaknya ditemui Bernama selepas mereka menaiki bot Melaka River Cruise dan mereka ternyata begitu teruja melihat keindahan dan kebersihan sungai Melaka.

Azhar adalah antara kira-kira 100,000 pelancong dari dalam dan luar negara yang menghadiri Pesta Sungai Melaka 2009 yang diadakan selama sembilan hari bermula 30 Mei lepas dan beliau antara 34,000 pengunjung yang menaiki bot Melaka River Cruise.

SUNGAI MELAKA PENJANA BARU EKONOMI

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam yakin sungai Melaka mampu menjadi penyumbang utama kepada pendapatan ekonomi negeri pada masa depan.

Beliau berkata hasil penganjuran pesta berkenaan, Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka yang mengendalikan 25 buah bot Melaka River Cruise, berjaya mengutip sebanyak RM270,000 hasil jualan tiket.

Sungai Melaka adalah antara beberapa produk baru pelancongan yang baru dibina dan giat dipromosikan oleh kerajaan negeri Melaka untuk menarik pelancong domestik dan antarabangsa ke negeri ini.

Produk baru lain yang semakin popular termasuk Menara Taming Sari di Bandar Hilir, Eye On Malaysia di muara Sungai Melaka, beberapa pasaraya besar dan bandar fesyen di Melaka International Trade Centre (MITC).

Melaka giat mempromosikan beberapa sub pelancongan iaitu sejarah, kebudayaan, rekreasi, sukan, membeli belah, konvensyen, kesihatan, pendidikan, pertanian, makanan, Melaka My Second Home dan program belia.

PAKEJ LENGKAP PELANCONGAN

Mohd Ali mengucapkan terima kasih kepada penduduk Malaysia yang telah melawat Melaka dengan begitu besar jumlahnya pada cuti sekolah lepas.

“Dalam tempoh dua minggu, kita menerima kunjungan lebih 3 juta orang dan mengikut rekod pintu masuk bertol sahaja 280,000 buah kenderaan memasuki Melaka dalam tempoh dua minggu itu,” dengan menambah kata laluan masuk tidak bertol tentunya lebih banyak lagi.

Beliau berkata dalam tempoh itu, semua bilik hotel penuh manakala kawasan rekreasi di seluruh negeri ini menunjukkan peningkatan pengunjung.

Setakat ini Melaka mempunyai 5,150 bilik hotel yang pelbagai taraf bintang (taraf 5 bintang dan ke bawah) dan 2,458 bilik homestay (inap desa).

Pakej lengkap pelancongan mengabungkan produk warisan dan baru itu dilihat telah berjaya meningkatkan jumlah kedatangan pelancong ke Melaka pada setiap tahun.

Pada 2004, sebanyak 4 juta pelancong melawat Melaka diikuti 2005 (4.7 juta); 2006 (5.1 juta); 2007 (6.1 juta), 2008 (7.2 juta) dan tahun ini disasarkan 8 juta orang.

Pada tahun lepas, Singapura menduduki tangga teratas jumlah pelancong asing teramai ke Melaka iaitu 236,673 orang diikuti China (188,683 orang); Indonesia (106,612 orang); Hong Kong (44,030 orang) dan Taiwan (30,747 orang).

RANCANG PRODUK BARU

Mohd Ali berkata beberapa produk baru pelancongan yang sedang dibina ialah pusat boling terbesar di Malaysia dan planetarium manakala yang masih dalam perancangan seperti sistem pengangkutan monorel dan aerorail serta permainan roller coaster.

Beliau berkata kerajaan negeri akan memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pengunjung seperti menyediakan tempat rekreasi yang lebih banyak, tandas yang lebih baik, menanam pokok supaya kawasan pelancongan lebih redup.

Kejayaan menempatkan Melaka sebagai destinasi pelancongan popular dalam dan luar negara itu, ingin pula dicontohi oleh kerajaan negeri Terengganu untuk memajukan negeri pantai timur itu sebagai destinasi tarikan pelancong yang lebih berdaya saing.

Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said yang melawat Melaka bersama deligasinya selama empat hari bermula 12 Jun lepas, begitu tertarik dengan pendekatan Melaka membangunkan sektor pelancongan.

Ahmad berkata Terengganu mempunyai sungai, tasik, pantai dan pulau yang boleh dieksploitasi untuk menarik pelancong ke negeri itu memandangkan negeri itu merancang untuk menjadikan sektor pelancongan sebagai tulang belakang kekuatan ekonomi pada masa depan.

Tahun lepas seramai 3.5 juta orang melawat Terengganu berbanding 7.2 juta orang yang melawat Melaka.

— BERNAMA

2 thoughts on “Melaka Bangunkan Sektor Perlancongan Dikagumi

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s