SENI CAHAYA ‘PANI’ WARNAI KEINDAHAN MALAM DI MELAKA

Bakal Tingkatkan Imej, Populariti Pelancongan
SENI CAHAYA ‘PANI’ WARNAI KEINDAHAN MALAM DI MELAKA

BANDARAYA MELAKA, 19 Ogos – Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, Melaka bakal menjadi lokasi pertama di Asia Tenggara mengaplikasikan ‘Pani Projection And Lighting’ untuk memancarkan cahaya luar biasa yang terhasil dari keajaiban lensa bagi mewarnai malam-malam gemilang di sekitar bandaraya.

Beliau memberitahu produk yang menggabungkan kepakaran teknologi terkini dengan keajaiban cahaya dijangka menjadi satu lagi value added kepada produk-produk pelancongan sedia ada.

Katanya lagi kewujudan Pani Projection & Lighting bakal menggamit lebih ramai pengunjung datang untuk melihat keindahan seni cahaya pani projector ke Melaka, ‘Negeri Taman Tema Lagi Bersejarah’ terulung di Malaysia.

“Ia juga bakal menterjemahkan keunggulan sebenar Melaka sebagai Bandaraya Bersejarah dan destinasi pelancongan yang sentiasa peka kepada perkembangan teknologi semasa serta sentiasa mendahului lokasi pelancongan lain dari segi penawaran produk-produk pelancongan,” ujar Mohd Ali berucap melancarkan ‘Pani Projection And Lighting’, semalam.

Ketua Menteri percaya beberapa promosi yang bakal dijalankan oleh Hectares & Hectres Advertising & Marketing Sdn Bhd selaku agen tunggal produk dari Austria itu akan mencapai sasaran dan akan meningkatkan lagi imej serta populariti Melaka.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Menara KL, Datuk Zulkifli Mohamad; Pengarah Urusan Hectares & Hectres Advertising & Marketing Sdn Bhd, Jufry Anuar Azmi dan Pengarah Aftera Atlantik Sdn Bhd, Muslan Jamil.

Mohd Ali juga memaklumkan bahawa Jufry Anuar Film Production milik Jufry Anuar bakal menggunakan teknologi pani ini di dalam penerbitan filem sulungnya berjudul ‘JEBAT’ yang akan diproduksikan di Melaka sepanjang November ini.

“Sebagai bandaraya yang banyak menyimpan khazanah sejarah, saya berharap penerbitan filem ini nanti dapat meningkatkan promosi yang boleh mengundang kehadiran lebih ramai pelancong dalam dan luar negeri yang tentunya dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan serta perniagan di negeri ini,” kata Mohd Ali.

Sementara itu Jufry Anuar ketika ditemui memberitahu syarikatnya telah mengenalpasti lima lokasi strategik sekitar bandaraya bagi tujuan mempromosikan keindahan seni cahaya pani projector.

“Ia merupakan satu produk unik yang mampu merubah wajah sesebuah objek atau bangunan menggunakan teknologi pani yang membiaskan corak-corak warna menarik di permukaan dinding,” ujarnya.

Buat permulaan katanya, ‘Pani Projection & Lighting’ akan diletakkan di MITC, Graha Makmur, Sungai Melaka serta Melaka Theme Park sebaik sahaja ia beroperasi.

Leave a comment