Tarikan air pancut berirama

air pancut berirama yang mempesonakan orang ramai bertempat di Jalan Munshi Abdullah dan berhadapan dengan Eyes On Melaka diadakan dari Isnin hingga Jumaat bermula pukul 9 malam hingga 11 malam.



MELAKA 11 Sept. – Melalui Jalan Munshi Abdullah dekat sini khususnya pada waktu malam pastinya mata pengunjung tertarik dengan satu binaan yang terletak di sebelah kanan jalan.

Sebelum ini, mata pengunjung hanya tertumpu pada salah satu produk pelancongan Melaka yang berada di seberang Jalan Munshi Abdullah iaitu ‘Eyes On Melaka’ .

Namun kini, satu lagi tarikan yang pasti membuatkan pengunjung terpesona adalah air pancut berirama yang pertama wujud di negeri ini.

Berpeluang melihat air pancut berirama pastinya memberikan satu pengalaman yang indah dan menyeronokkan khususnya kepada mereka yang pertama kali melihatnya.

Terletak di sebelah kanan Jalan Munshi Abdullah berdekatan dengan Jalan Hang Tuah dan Sungai Melaka menjadikan air pancut berirama sebagai lokasi kunjungan yang strategik.

Keunikannya mampu menarik ramai pengunjung tidak kira sama ada mereka yang menyusuri Sungai Melaka menggunakan perkhidmatan bot Melaka River Cruise atau mereka yang melalui jalan tersebut.

Produk pelancongan baru itu menjadi salah satu perhentian selama dua minit bagi mereka yang menaiki perkhidmatan Melaka River Cruise untuk menikmati keunikan air pancut berirama itu selain melihat bangunan-bangunan bersejarah sepanjang menyusuri Sungai Melaka.

Pertunjukan air pancut berirama dengan lagu-lagu yang menampilkan budaya negara ini selaras dengan gagasan 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Irama dondang sayang serta lagu-lagu rakyat masyarakat Cina dan India yang rancak mengiringi corak semburan air pancut itu pastinya menarik perhatian pengunjung.

Melihat telatah anak kecil yang cukup seronok mendengar lagu diiringi air pancut berirama pasti membuatkan ibu dan ayah terhibur.

Pancutan tertinggi air pancut berkenaan ialah 14.4 meter serta mempunyai lebih 10 corak semburan mengikut irama lagu.

Pemandangan persekitarannya yang cantik menjadikan tempat itu sebagai salah satu lokasi fotografi yang utama bagi pengunjung merakam gambar kenangan.

Kerdipan lampu yang silih berganti membuai keasyikan pengunjung serta membuatkan mata menjadi lebih tertarik pada simbahan cahaya berwarna-warni yang mengiringi pancutan air tersebut.

Air pancut berirama di bawah pengelolaan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) itu beroperasi sejak setahun lalu.

Kini Jalan Munshi Abdullah tidak lagi sunyi seperti dahulu kerana sejak wujudnya air pancut berirama itu, ia kini semakin sesak.

Bagi pengunjung yang datang ke Melaka pastinya akan tertarik untuk singgah melihat air pancut berirama yang pertunjukannya diadakan dari Isnin hingga Jumaat bermula pukul 9.00 hingga 11.00 malam.

Pada hujung minggu termasuk cuti umum, pertunjukannya dilanjutkan sehingga pukul 2 pagi bergantung kepada kehadiran pengunjung.

Air pancut berirama menjadi salah satu produk pelancongan di negeri ini untuk menambah lokasi menarik yang boleh dikunjungi pelancong dari dalam dan luar negara.

Walaupun masih baru, namun produk pelancongan terbaru Melaka itu sudah mendapat tempat di hati pengunjung.

Bagi Azie Farhana Abu Zain, 22, dia kagum ketika pertama kali melihat pertunjukkan air pancut berirama itu.

”Saya berasa teruja melihat air pancut ini ‘menari’ mengikut lagu dengan cahaya berwarna-warni menambah tarikan apabila ia menerangi seluruh kawasan ini,” katanya.

Bagi pelajar Kolej Multimedia Melaka, Ummu Sakinah Muhd. Zawawi, 22, pemandangan di kawasan itu amat menarik dan ia menarik pelancong untuk berkunjung ke negeri ini.

”Jika kita lihat, air pancut berirama juga terdapat di negeri lain tetapi Melaka menonjolkan satu keunikan di mana lagu yang didendangkan menonjolkan budaya kita.

”Selain itu, cahaya yang menerangi tempat ini memukau mata setiap pengunjung yang datang,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s